Saturday, August 29, 2009
Pantun
Pantun ialah bentuk puisi Melayu yang asli dan unik. Ia merupakan sumber khazanah dalam kehidupan masyarakat di Alam Melayu, baik dari segi pemikiran, kesenian, maupun nilai-nilai moral dan sosialnya. Akalbudi orang Melayu dapat dilihat dalam pantun yang diungkapkan secara spontan dengan begitu ringkas dan padat. Ini termasuklah kebijaksanaan dan ketangkasannya menjana makna yang dalam dan mengukir gerak hati serta lukisan rasa yang indah bersama penampilan unsur-unsur alam.
Pantun wujud dalam pelbagai bentuk dan wajah, dari pantun dua kerat dan pantun empat kerat sehingga ke pantun berkait. Genre ini menduduki tempat yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu, justeru diungkapkan dalam permainan kanak-kanak, dalam percintaan, upacara peminangan dan perkahwinan, nyanyian, dan upacara adapt. Pendeknya setiap tahap kehidupan manusia Melayu, yakni dari dalam buaian hingga ke alam percintaan dan hari-hari tua, dibantu dan dihiasi oleh pantun.
Pantun merupakan sastera lisan yang lahir dan berkembang dalam kalangan masyarakat yang akrab dengan alam, dan diwarisi dari generasi ke genarasi . Apabila muncul teknologi percetakan pada akhir abad ke-19, koleksi pantun telah diterbitkan dalam pelbagai dialek Melayu, seperti Betawi, Minangkabau, Peranakan Jakarta dan Melaka, dan bahasa-bahasa seperti Ambon dan Acheh. Kini terdapat kira-kira seratus buah manuskrip pantun yang dikumpulkan di perpustakaan seperti di Jakarta, Leiden, Paris, London, dan Berlin. Kebanyakan pantun tersebut dikutip pada akhir abad ke-19 dan dimuatkan dalam pelbagai koleksi oleh sarjana dari England, Belanda, dan Jerman.
Dapat disebutkan bahawa pantun ialah genre yang tersebar luas dan hampir sarwajagat. Di Alam Melayu, bentuk ini hidup subur dalam sekitar 30 bahasa dan dalam 35 dialek Melayu. Orang-orang Melayu diaspora pula telah membawanya hingga ke Sri Langka, Kepulauan Cocos, Surinam, dan Belanda. Kehadiran pantun di Eropah dan Amerika telah menarik perhatian penyair-penyair hingga menyebabkan timbulnya genre pantoum dalam kesusasteraan Barat mulai abad ke-19.
Kini pantun telah berjaya menambat imaginasi dan kesarjanaan pengkaji di dalam dan di luar bidang sastera, di Alam Melayu dan juga di luarnya. Pantun terus diajar dan diselidiki di pusat-pusat Pengajian Melayu; seminar dan bengkel tentangnya juga terus diadakan.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

PANTUN MERDEKA
MEREDAH SASA BUMI MELAKA,
AMALAN DAYANG PENGGERAK HIASAN
INDAH SENTOSA BUMI MERDEKA,
TINGGALAN MOYANG TUNGGAK WARISAN.
BERLAPIS CEMPAKA DI SISI KEKWA,
INDAH REDUP DIHIAS MELATI;
SEMANGAT MERDEKA KEKAL DI JIWA,
NESCAYA HIDUP LEBIH BERERTI.
RAWA DI TANJUNG KEMAS DIPAKU,
DI DADA JEJAWI BERSILANG HIASAN;
JIWA MEYANJUNG LAGU NEGARAKU,
TANDA PERTIWI DIJULANG WARISAN.
AWAN TENANG BERSERI HIASAN,
KEDIDI DI HUTAN RIUH BELAKA;
PAHLAWAN DIKENANG WATAN WARISAN,
MENJADI IKUTAN RAKYAT MERDEKA.
HALUS TERATUR JAMBANGAN CEMPAKA,
DI TEPI JEJAWI MOLEK KEDIDI;
TAKKAN LUNTUR SEMANGAT MERDEKA,
DIJULANG PERTIWI SENTOSA ABADI.
REMAJA KINI MENJULANG NUSA,
BAGAI CAHAYA MENYERI PANDANGAN;
MALAYSIA HARMONI AMAN SENTIASA,
DENGAN ADANYA PEMIMPIN SANJUNGAN.
CINDAI SI DESA SELASIH MEWAJAH,
GAMAT MELAKA BERTINGKAH KELICAP;
ANDAI NUSA MASIH DIJAJAH,
NIKMAT MERDEKA DAPATKAH DIKECAP?
Subscribe to:
Comments (Atom)















