Monday, August 31, 2009

Seronoknya Belajar
















BELAJAR
sememangnya menyeronokkan tetapi bagi mereka yang belajar dengan hanya tertumpu pada buku sahaja kadangkala mungkin juga membosankan. Oleh itu murid harus mempelbagaikan bahan, kaedah dan gaya belajar agar ianya menjadi aktiviti harian yang mampu dijalankan tanpa terasa sebagai bebanan.

• Bahan – terdapat pelbagai bahan belajar yang boleh digunakan termasuklah buku teks, akhbar, bahan grafik, lakaran peta minda, bahan audio, video, animasi serta bahan dari internet. Bahan seumpama ini boleh diperoleh daripada pusat sumber sekolah atau negeri, kedai buku, kedai video dan sebagainya. Bahan yang mempunyai imej atau yang bercirikan multimedia mampu menarik perhatian kita serta mampu mengekal dan menambahkan daya ingatan terhadap fakta-fakta yang dipelajari.

• Kaedah – belajar sendirian adalah suatu amalan yang baik tetapi kadangkala kita mudah rasa jemu, bosan dan mengantuk. Adalah dicadangkan supaya murid-murid mampu berinteraksi atau berbincang dengan rakan-rakan berdasarkan bahan yang dipilih. Idea yang bernas daripada rakan-rakan mampu memberi maklum balas serta menjadi asas membetulkan kesilapan yang dilakukan. Mencari bahan dengan melayari Internet mampu menambahkan kemahiran penggunaan komputer di samping mendapat bahan atau fakta terkini.

• Gaya belajar – Gaya belajar juga mempengaruhi segala tindakan kita dalam proses mengulang kaji. Oleh itu gaya belajar juga harus dipelbagaikan termasuk kedudukan kita ketika belajar sama ada secara formal berada di kerusi, duduk di lantai atau bersandar di sofa. Ada juga pelajar yang suka belajar sambil mendengar muzik. Amalan ini boleh dilakukan tetapi dalam keadaan terkawal. Muzik yang didengar itu sebaik-baiknya tidak terlalu kuat sehinggakan hilang daya tumpuan belajar. Walau bagaimanapun anda dilarang mendengar muzik ketika melakukan aktiviti belajar seperti menghafal atau membuat latihan yang mempunyai aras kesukaran yang tinggi yang banyak menggunakan daya berfikir. Menonton televisyen ketika belajar adalah dilarang sama sekali. Dalam jangka masa terdekat ini murid-murid harus mempelbagaikan cara belajar masing-masing. Keseronokan ketika belajar harus dirasai agar apa yang dipelajari itu difahami dan akhirnya mampu menjawab soalan peperiksaan dengan tenang, berkeyakinan dan menepati kehendak soalan.


Oleh Dr Ismail Zain

Memartabatkan Pantun



Muka depan buku Mencintai Pantun.

Dalam semak ada kebun,

Dalam kebun ada bunga;

Dalam gelak ada pantun,

Dalam pantun ada makna.

Pantun kian terpinggir dan semakin dilupakan. Puisi Melayu dan lambang jati diri bangsa seakan hanyut ditelan kemajuan.

Banyak sebab dan punca mengapa ia jadi begitu. Tanpa perlu menuding jari menyalahkan sesiapa, Mohamad Shahidan tampil dengan buku Mencintai Pantun.

Buku ini amat sesuai untuk pemantapan pemahaman pantun dalam komponen sastera (KOMSAS) Bahasa Melayu di sekolah.

Menurut Mohamad, dia terpanggil menulis buku ini setelah mendengar pantun moden yang jauh menyimpang daripada model pantun tradisional dalam pertandingan pantun peringkat sekolah menengah, universiti, sektor awam dan swasta.

"Akibat salah faham terhadap pantun ramai yang mengambil mudah peranan pembayang," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pembayang, katanya, mesti ada logik dan peka dengan alam sekitar. Tidak boleh sembarangan atau setakat untuk memberi akhiran rima yang sama.

Tambahnya, pantun yang baik ada hubungan atau perkaitan antara pembayang dan maksud.

"Sebenarnya kekuatan pantun terletak pada permainan bunyi," jelasnya.

Bunyi tersebut menimbulkan keindahan bahasa dan maksud tanpa mengira jenis pantun itu.

Terdapat pelbagai jenis pantun; pantun dua kerat, empat kerat, lapan kerat dan 14 kerat.

Bagaimanapun pantun empat kerat yang paling popular.

Buku tulisan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Universiti Sains Malaysia (USM) ini memberi asas pengetahuan pantun kepada pembacanya.

Selain itu, buku berharga RM14 senaskhah ini turut menyentuh asal-usul perkataan pantun dan bagaimana ia mula dicipta.

Untuk maklumat lanjut atau tempahan hubungi 012-2574818.