 |
Muka depan buku Mencintai Pantun. |
Dalam semak ada kebun,
Dalam kebun ada bunga;
Dalam gelak ada pantun,
Dalam pantun ada makna.
Pantun kian terpinggir dan semakin dilupakan. Puisi Melayu dan lambang jati diri bangsa seakan hanyut ditelan kemajuan.
Banyak sebab dan punca mengapa ia jadi begitu. Tanpa perlu menuding jari menyalahkan sesiapa, Mohamad Shahidan tampil dengan buku Mencintai Pantun.
Buku ini amat sesuai untuk pemantapan pemahaman pantun dalam komponen sastera (KOMSAS) Bahasa Melayu di sekolah.
Menurut Mohamad, dia terpanggil menulis buku ini setelah mendengar pantun moden yang jauh menyimpang daripada model pantun tradisional dalam pertandingan pantun peringkat sekolah menengah, universiti, sektor awam dan swasta.
"Akibat salah faham terhadap pantun ramai yang mengambil mudah peranan pembayang," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pembayang, katanya, mesti ada logik dan peka dengan alam sekitar. Tidak boleh sembarangan atau setakat untuk memberi akhiran rima yang sama.
Tambahnya, pantun yang baik ada hubungan atau perkaitan antara pembayang dan maksud.
"Sebenarnya kekuatan pantun terletak pada permainan bunyi," jelasnya.
Bunyi tersebut menimbulkan keindahan bahasa dan maksud tanpa mengira jenis pantun itu.
Terdapat pelbagai jenis pantun; pantun dua kerat, empat kerat, lapan kerat dan 14 kerat.
Bagaimanapun pantun empat kerat yang paling popular.
Buku tulisan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Universiti Sains Malaysia (USM) ini memberi asas pengetahuan pantun kepada pembacanya.
Selain itu, buku berharga RM14 senaskhah ini turut menyentuh asal-usul perkataan pantun dan bagaimana ia mula dicipta.
Untuk maklumat lanjut atau tempahan hubungi 012-2574818.